Tuesday 11 June 2013

Denda terhadap anak-anak

Bismillahirrahmanirrahim.

Kali ni saya nak tambah sedikit dari entry yang sebelum ini mengenai denda terhadap anak-anak yang masih kecil. Info ini saya ambil dari sebuah artikel percuma 26 m/s saya terjumpa di internet. Info nya sangat menarik, diterbitkan oleh Kelab Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur, Malaysia. 2002. Pihak mereka juga turut membenarkan mana-mana bahagian dan isi kandungan artikel ini dikeluarkan semula dalam apa juga bentuk selagi ia dilakukan untuk kebaikan masyarakat dan ummah dan bukan untuk tujuan mendapat keuntungan. Tajuk artikel penuh ialah MEMBENTUK KEPERIBADIAN CEMERLANG - PANDUAN UNTUK IBU BAPA. So kalau nak baca artikel penuh, bolehlah try Google keyword ni. Ada banyak sangat info menarik mengenai keibu-bapaan seperti faktor-faktor terhadap pembentukkan keperibadian, cara pembelajaran anak-anak, bentuk ganjaran yang baik dan macam macam lagi.

So, jom kita baca tentang DENDA, peranannya, implikasinya dan keberkesanannya.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

APAKAH PERANAN DENDA?

1. DENDA merupakan cara yang paling biasa digunakan oleh ibu bapa untuk mendisiplinkan anak-anak mereka.
2. Tetapi pendekatan ini adalah kurang sesuai dan tidak digalakkan walaupun ia nampak berkesan untuk memberhentikan atau mengurangkan sesuatu tabiat buruk.
3. Walaubagaimana pun ada kalanya mengenakan denda menjadi perlu apabila seseorang kanak-kanak melampaui had-had yang ditetapkan.
4. Denda membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan dan hanya patut digunakan sebagai jalan terakhir bagi menangani sesuatu tabiat buruk selepas kesemua langkah pemantapan positif telah gagal.
5. Secara ideal, seseorang kanak-kanak haruslah dibesarkan dengan pengaruh positif, iaitu dengan melebihkan ganjaran daripada hukuman.

Rasulullah (s.a.w.) sendiri tidak pernah memarahi atau meninggikan suara terhadap kanak-kanak semasa ingin menasihati mereka. Baginda sering berlemah-lembut dalam percakapannya dengan kanak-kanak. Satu hadith dari Sunan Abu Dawud:
Seorang sahabat Nabi pernah berkata, "Semasa saya kecil, saya suka menjatuhkan buah kurma dengan membaling batu pada pohon kurma. Pada suatu hari, ada seseorang (Rasulullah s.a.w.) yang mendukung saya dan menasihati saya agar memungut buah kurma yang jatuh dari pohon dan bukan menjatuhkannya menggunakan batu. Dia kemudiannya mengusap kepala saya dan memohon rahmat untuk saya"

Rasulullah s.a.w. selalu beramah mesra dengan kanak-kanak dan tidak pernah memukul walaupun seorang kanak-kanak (mahupun wanita) di sepanjang hidupnya. Rasulullah s.a.w. banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya pemberian denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.

Kenapakah denda tidak berkesan untuk membentuk tabiat positif jangka panjang?
1. Denda cuma berkesan jika ia menjadi ancaman kepada anak-anak. Kalau denda itu bukan lagi merupakan ancaman, anak-anak akan teruskan dengan tabiat negatif mereka.
2. Denda mendatangkan perasaan marah dan benci dalam anak-anak kepada orang yang mendendanya.
3. Anak-anak akan cuba menyembunyikan perkara negatif yang dilakukannya untuk mengelak daripada didenda. Dia masih lakukan perkara negatif cuma dia sembunyikan daripada ibu bapa.
4. Denda cuma memuaskan hati orang yang mendenda.
5. Kanak-kanak akan mempelajari bahawa denda adalah cara bagi menyelesaikan masalah dan ini akan memberi kesan terhadap interaksi mereka dengan orang lain. Kanak-kanak akan membesar dengan konsep ini.

Terdapat 2 jenis denda:
1. Melakukan sesuatu yang tidak disukai anak-anak (contoh: memarahi, memukul)
2. Menidakkan sesuatu yang disukai anak-anak (contoh: melarangnya menonton TV)

  • Walaupun mengenakan denda tidak disyorkan, ini tidak bermakna seseorang ibu bapa itu harus memberikan keizinan tanpa had (permissiveness), iaitu membiarkan sahaja kanak-kanak melakukan apa sahaja yang diingininya tanpa had. Keizinan tanpa had lebih memudaratkan dari mengenakan denda.
  • Denda kadangkala perlu dilakukan (sekiranya tidak ada cara positif lain) untuk menghentikan atau kurangkan tabiat buruk yang sedia ada pada kanak-kanak.


Bagaimanakah cara terbaik melakukan denda (jika tidak ada cara positif lain)?
1. Terangkan kepada anak kita secara lembut apakah kelakuan mereka yang melampaui had dan mengapakah ia mungkin membawa padah.

  • Kita tidak semestinya menyatakan atau menerangkan tabiat buruknya, sebaliknya, kita boleh menerangkan betapa kita menyukai kelakuan baik yang boleh diamalkannya.
  • Jangan memberi terlalu banyak perhatian kepada kelakuan buruk anak kerana ia mungkin berubah menjadi suatu cara untuk anak tersebut menarik perhatian kita.
  • Jangan sekali-kali memalukan anak di hadapan orang lain. Seelok-eloknya, adalah lebih baik jika anak tersebut dinasihati dalam suatu suasana yang mesra dan peribadi.


2. Apabila nasihat yang diberi tidak membawa sebarang perubahan, kita boleh mengambil langkah seterusnya dengan mengurangkan aktiviti-aktiviti yang disukai mereka. Contohnya, jika anak kita suka bermain basikal di waktu petang, kita boleh melarangnya bermain basikal selama seminggu bermula dari hari dia membuat kesalahan dan terangkan kepadanya kenapa kita berbuat demikian. Ini merupakan denda jenis kedua, iaitu menidakkan sesuatu yang disukai anak-anak.

3. Jika semua usaha yang lain telah gagal dan anak-anak masih meneruskan kelakuan buruknya, hukuman fizikal mungkin menjadi perlu. (Ingat! Ini adalah jalan terakhir dan tidak disyorkan). Antara perkara yang perlu diambil perhatian semasa mendenda secara fizikal ialah:

  • Jangan memukul semasa marah. Orang yang marah selalu melampaui batas dalam tindakannya.
  • Jangan pukul di bahagian muka, dada atau perut.
  • Jangan pukul lebih dari 3 kali.
  • Jangan pukul sampai luka, lebam atau bertanda.
  • Merotan cuma sebagai simbolik dan bukan untuk menyebabkan kesakitan atau mencederakan.

Kesimpulannya, denda haruslah dielakkan sejauh yang mungkin dan sayangilah anak anda tanpa had. Sesungguhnya, pemberian kasih sayang yang ikhlas membawa suasana yang lebih harmonis dan menyumbang kepada perkembangan mental kanak-kanak yang lebih sihat.

Jangan keliru DENDA dengan TEGAS
Kita perlu tegas dengan anak-anak. Kalau kita menyatakan sesuatu kita perlu kekalkan pendirian kita dan jangan ubah-ubah. Anak-anak perlu tahu kita serius dan kita akan laksanakan apa yang kita katakan. Tetapi kita perlu realistik dengan perkara yang kita mahu pada anak-anak. Jangan keterlaluan dengan perkara yang kita nak TEGASkan.
Contoh perkara yang terlalu ketat:
• Langsung tak boleh tengok TV
• Langsung tak boleh dengar muzik
• Langsung tak boleh keluar bersama kawan

Contoh pendekatan yang lebih realistik:
• Beri pilihan kepada anak untuk menonton satu atau dua program TV sahaja.
• Kalau nak keluar membeli-belah mesti solat di mana-mana surau apabila masuk waktu solat.
• Boleh keluar dengan kawan-kawan tetapi mesti balik ke rumah sebelum pukul 6.00 petang.

Kebebasan ada hadnya. Jangan amalkan sikap PERMISIF.
1. Di dalam bab-bab terdahulu, kita telah melihat kebaikan mendidik anak dengan lemah lembut;- memberi ganjaran mempunyai kesan yang lebih baik daripada mengherdik dan mendenda anak-anak.
2. Ini tidak bermakna kita harus memanjakan anak-anak tanpa batasan.
3. Anak-anak perlu diberitahu apa yang baik dan buruk. Mereka tidak sepatutnya dibiarkan membuat sesuka hati.
4. Semua kanak-kanak perlu ada had kebebasan berhubung dengan apa yang boleh mereka lakukan.
5. Lagi kecil anak itu lagi banyak had kebebasannya.
6. Ibu bapa perlu memberitahu anak-anak dengan jelas tentang had kebebasan anak-anak.
7. Sikap permisif bermakna ibu bapa membiarkan anak-anak membuat apa sahaja tanpa had.
8. Had kebebasan manusia telah ditentukan oleh Allah. Sikap permisif akan mendorong anak-anak untuk melanggar had kebebasan yang telah ditentukan oleh Allah.
9. Kebebasan tanpa had membawa kesan yang buruk ke atas perkembangan anak, malahan kesannya adalah lebih buruk daripada mendenda anak.
10. Ibu bapa tidak seharusnya terlalu memanjakan anak mereka sehingga tidak pernah bertegas atau menegur kesalahan anak.
11. Anak-anak ini akan membesar dan membuat sesuka hati kerana mereka tidak tahu menilai di antara yang baik dan buruk.
12. Maka terjadilah masyarakat permisif yang tidak boleh membezakan di antara yang baik dan buruk. Masyarakat sebegini dicirikan oleh pergaulan bebas, keruntuhan akhlak, penyalahgunaan dadah, dan sebagainya yang cuma mementingkan keseronokan.
13. Janganlah kerana terlalu sayangkan anak, ibu bapa lalai menjalankan kewajipan dalam memperbetulkan kesalahan yang dilakukan oleh anak mereka.
14. Larang anak daripada melakukan sesuatu perkara negatif dengan tegas. Anak-anak akan tahu sekiranya sesuatu itu benar-benar dilarang oleh ibu bapa mereka atau sekadar di mulut sahaja.
15. Kadang kala ibu bapa bersikap permisif dan takut untuk menegur kesilapan atau sikap keterlaluan anak remaja mereka kerana bimbang anak mereka akan benci kepada mereka. Tetapi ibu bapa perlu ingat sikap ini cuma mendorong anak-anak melakukan kejahatan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

No comments:

Post a Comment