Wednesday 6 November 2013

Qadaq Solat...bagaimana kalau sebelum ini bertahun-tahun tak solat?

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah, berikan lah aku kekuatan untuk melaksanakan hakMu....melaksanakan kewajipanku....supaya aku lebih hampir denganMu....

Sekadar perkongsian.....

Dipetik dari laman http://aimanyusoff.blogspot.com/2012/07/muhasabah-diri-cara-qada-solat-yang.html.



Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah suruh seperti mana yang terdapat di dalam rukun Islam yang ke2. Selama kita hidup pernah tak kita tinggal solat? Kita manusia akhir zaman yang lemah imannya, sering kali lalai dalam kewajiban yang Allah suruh. Mungkin kita adalah dalam golongan orang yang pernah tinggal solat baik sengaja ataupun tidak sengaja. Sekarang rasa menyesal itu mungkin mula dirasai oleh kita semua disebabkan dahulunya jahil tentang agama dan sering tinggal solat walaupun sudah baligh dulu.

 Alhamdulillah hari ini Allah masih lagi hidupkan kita, mungkin Dia tahu banyaknya dosa kita dan mahu memberi ruang kepada kita untuk bertaubat. Selagi ajal belum tiba eloklah kita semua qada solat kita yang kita tinggal dulu. Puasa yang ditinggalkan kena ganti, hutang dengan manusia pun kita kena bayar inikan hutang kita dengan Allah. Ok, apa yang mesti kita tahu tentang cara atau bagai mana mahu qada’ solat?


Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada solat yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja. Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada solat yang ditinggalkan walaupun Baginda tidak tertidur atau terlupa.




Tidak ada qada dalam solat bukan bermaksud tidak perlu qada tapi tidak perlu sebut perkataan qadha semasa niat. Qadha ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qadha “waktu kita”
Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Muslim)


Cara niat Qada bagi solat fardu lima waktu pula ialah:
1.   Solat Maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

2.   Solat Isyak:
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

3.   Solat Subuh:
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

4.   Solat Zuhur:
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

5.   Solat Asar:
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala
Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?
Jawabnya, Wajib qada solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada,  pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardhunya, maka qadakanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.

Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu lakukan solat qada, buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah.

Selain itu ada juga orang bertanya,  jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada semua solat itu (tetapi sudah buat solat taubat) bagaimana?

Soal jika meninggal sebelum sempat mengqada kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah, akan tetapi jika kita telah benar2 insaf dan niat untuk qada kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah, insyaAllah akan diampuni dosa-dosanya. Untuk pengetahuan semua, qada solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah SWT.
Wallahualam……. ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Perkongsian tambahan di bawah dari laman web http://www.darulnuman.com/index.php?option=com_content&view=article&id=77&Itemid=139

1. Mengqada'kan Solat
Soalan: Adakah perlu mengqada' solat fardhu yang telah ditinggalkan atau cukupkah dengan bertaubat sahaja?


Jawapan:
Pengertian qada' menurut bahasa ialah menunaikan dan membayar. Menurut istilah pula ialah menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqada'kan solat itu di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie' dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur.

Mereka yang meninggalkannya sama ada terlupa atau tertidur atau sengaja, wajib bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Taubat tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu, tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal di atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan dan berazam tidak akan mengulangi semua keburukan pada masa akan datang. Wajib ke atasnya mengqada' semula solat-solat yang telah ditinggalkan.

2. Masa Mengqadha' Solat
Soalan: Bilakah tepat masanya yang sesuai untuk kita mengqadha' solat fardhu?


Jawapan:
Para ulama sepakat bahawa mengqadha' solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW: "Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar". Orang yang pengsan, tidak perlu mengqadha' solatnya, kecuali bia ia sedar itu cukup waktu untuk bersuci dan bersolat.

Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka menurut mazhab Jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha'. Sebaliknya Ibnu Taimiyah berkata: "Orang yang sengaja meninggalkan solat, tidaklah diperintah oleh syarak mengqadha' dan jika diqadha' juga maka tidak sah, hanya ia harus memperbanyak solat sunat".

Kemudian menurut Abu Hanifah, Malik dan Syafei berpendapat bahawa ia harus mengqadha' bila waktunya habis, bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqadha' sebelum solat yang waktunya hadir, ini bila yang sengaja ditinggalkan itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Namun kalau lebih dari lima waktu, maka dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.

3. Mengqada Solat yang Tertinggal
Soalan: Bagaimanakah caranya untuk mengqadakan sembahyang yang tertinggal, dan apakah niatnya?


Jawapan:
Para ulama sepakat bahawa mengqada solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur. Begitu juga meninggalkan solat dengan sengaja maka menurut mazhab jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie, orang yang meninggalkan solat wajib mengqadanya. Bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqada sebelum solat yang waktunya hadir. Ini bila solat yang ditinggalnya itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Tetapi kalau lebih dari lima waktu, maka supaya dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.

Mengenai niat, cukup dengan menanamkan niat dalam hati bahawa solat yang akan kita kerjakan itu merupakan solat qada dari solat-solat tertentu yang tertinggal.

3 comments:

  1. Aa.. saya agak kurang faham sikit..seandainya la kalau kite da tinggal solat selame bertahun kan.. contohnye dari darjah empat sampai tingkatan 3.. solat tu ditinggalkan dengan sengaja, jadi kena mengqada' solat2 tu semula kan?
    Contohnya, saya qada' solat setiap kali lepas solat fardu.. macam lepas saya da solat asar, saya buat pulak qada' solat solat yang dah ditinggalkan waktu dulu.. boleh kan? Rasenye sudah beribu solat yang ditinggalkan sejak baligh hingga ke tingkatan 3 ... dengar kate jika tidak solat sekali, akan diseksa selama 8000 tahun di akhirat.. jadi seandainya lah kalau solat yang ditinggalkan tu telah diqada' ... seksaan 8000 tahun untuk satu solat yang telah diqada' itu bagaimana? Tetap diseksa juga walaupun telah qada' ??

    ReplyDelete
  2. Answer her ^
    Im curious too.

    ReplyDelete
  3. Adakah jika selesai menqhada semua solat yang ditinggalkan sama ada terlupa atau sengaja,akan hilang dosa dan seksa di masyar tentang solat,contohnya saya tinggal solat subuh secara sengaja,selepas saya telah insaf,saya qadha solat subuh,adakah akan diseksa juga di neraka selama 60 000 tahun

    ReplyDelete